HADIS KENALI NABI MUHAMMAD SAW

CIRI-CIRI FIZIKAL RASULULLAH SAW

HADIS 1 (TUBUH DAN USIA NABI)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, dia bercerita (tentang Rasullulah SAW), "Rasullullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, warna kulitnya tidak terlalu putih dan tidak pula terlalu merah, rambutnya tidak terlalu keriting dan tidak terlalu lurus. Allah Taala mengutusnya Baginda (menjadi Nabi SAW) ketika usianya mula mencecah 40 tahun. Baginda tinggal di Makkah (selepas dilantik menjadi Nabi) selama 10 tahun dan di Madinah juga 10 tahun. Setelah itu, Baginda diwafatkan Allah Taala ketika di awal usia 60 tahun. Kepala dan janggutnya tidak sampai 20 helai rambut berwarna putih (uban). (Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Jami' at-Tirmizi)

Pengajaran Hadis

  1. Allah menciptakan fizikal Nabi Muhammad SAW dalam rupa bentuk yang sederhana dan pertengahan. Ini menggambarkan keseimbangan. Keseimbangan tidak akan kita perolehi melainkan dengan bersikap sederhana dan mengamalkan gaya hidup sederhana, tanpa berlebihan sebagaimana gaya hidup yang diamalkan oleh Nabi SAW sendiri.
  2. Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi dan Rasul pada usia 40 tahun. Usia ini ialah usia kematangan. Seharusnya kita yang telah mencecah umur 40 tahun mengubah gaya hidup kepada kehidupan yang lebih serius terutama dalam beramal dengan agama dan mencari bekalan untuk Akhirat.
PERAWI HADIS

Anas bin Malik r.a

  • Sahabat daripada golongan Ansar (puak Khazraj). Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, beliau berumur 8 atau 10 tahun. Ketika Nabi SAW wafat, beliau berumur 20 tahun.
  • Beliau menjadi khadam Nabi selama 10 tahun (yakni berkhidmat secara sukarela kepada Nabi) iaitu sejak Baginda tiba di Madinah hingga Baginda wafat, sebab itulah beliau merupakan antara sahabat yang banyak menceritakan tentang peribadi dan fizikal nabi.
  • Ketika Nabi tiba di Madinah, ibunya membawa beliau kepada Nabi dan berkata, Ambillah anakku ini untuk menjadi khadammu dan berdoalah untuknya. Nabi pun berdoa, Ya Allah, banyakkanlah harta dan anak-anaknya serta panjangkanlah umurnya.
  • Berkat doa Nabi, beliau dikurniakan harta dan anak yang banyak oleh Allah sehingga jumlah anak yang lahir dari sulbinya mencecah 100 orang. Beliau juga dipanjangkan umur sehingga menjadi antara sahabat yang paling akhir meninggal dunia.
  • Wafat pada tahun antara 91 Hijrah hingga 100 Hijrah, ketika berusia 100 tahun.

HADIS 2 (WARNA KULIT NABI)

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik r.a., katanya: "Rasullulah SAW merupakan seorang yang berketinggian sederhana iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah, fizikal Baginda adalah cantik, rambut Baginda tidak keriting dan tidak pula terlalu lurus, kulit (sedikit) kemerahan dan apabila Beginda berjalan condong ke depan. (Jami' at-Tirmizi)


HADIS 3 (RAMBUT NABI)

Diriwayatkan daripada al-Bara' bin 'Azib r.a., beliau menceritakan, Rasullulah SAW merupakan seorang yang berketinggian sederhana, antara dua bahu Baginda adalah jauh atau lebar (yakni dada Baginda bidang), rambut jummahnya tebal (dari atas kepala) hingga ke bahagian bawah cuping telinganya (adapun dari bawah cuping telinga hingga yang mencecah bahu nipis sahaja), Baginda memakai pakaian hullah berwarna merah, Selamanya tidak pernah aku melihat sesuatu lebih indah daripada Rasullulah. (Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim)

No comments:

Post a Comment